Tuesday 2 January 2018

REFLEKSI PERTAMA

Rasulullah SAW bersabda: 
خَيْرُ الناسِ أَنْفَعُهُمْ لِلناسِ
Sebaikbaik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia”
(HR. Ahmad, ath-Thabrani, ad-Daruqutni)
Ketika berbincang kali pertama mengenai topik yang ingin diketengahkan dalam penghasilan video untuk kursus Media Digital dan Komunikasi ini, satu perkara yang menyuntik diri saya untuk bersetuju dengan idea untuk menghasilkan video “Kebejatan Akhlak Remaja: Punca dan Solusi” adalah kerana saya sedar walaupun pastinya penghasilan video ini amat rumit kerana memerlukan kami untuk turun ke kawasan  kajian, melakukan temubual dan sebagainya tetapi  saya percaya, video ini kelak  pastinya bermanfaat sebagai tatapan masyarakat terutamanya umat Islam.
Ini juga yang telah ditekankan pensyarah, Dr. Rosseni apabila kami membentangkan idea untuk menghasilkan  Projek Video ini kepada beliau.
Saya percaya, idea tema projek video ini amat wajar untuk diteruskan. Bukan sahaja dengan izin Allah pahala akan mengalir pahala kepada mereka yang berkongsi gagasan dan ilmu untuk dimuatnaik dalam video kami, malahan pendengar dan penonton juga akan mendapat pahala kerana meluangkan nikmat masa mereka untuk mendengar dan melihat perkara-perkara ilmiah yang disampaikan dalam video ini.
Dan selagi mana video kami ditonton, selagi mana ada umat Nabi Muhammad yang mendapat manfaat daripada penghasilan ini, inshaAllah selagi itu ada pahala yang tercatat dalam buku amalan untuk semua yang terlibat dalam penghasilan video ini.
Usaha kami mungkin tidak seberapa. Tetapi semoga usaha ini membantu para ilmuan mendokumentasi ilmu mereka supaya dapat disampaikan kepada lebih ramai khalayak.
“Kelak tinta orang yang berilmu akan ditimbang dengan darah orang yang mati syahid. Ternyata, tinta orang yang berilmu mengungguli darah syuhada” 
(Imam al-Ghazali)

Ilmu yang dihafaz mungkin akan sirna, tetapi ilmu yang ditulis inshaAllah ianya akan terus menyinari hidup manusia untuk terus berjalan di jalan yang benar dan diredhai Pencipta.
Semoga projek video ini menjadi wahana kepada ketamadunan generasi Islam yang lebih baik untuk mendokong nama dan aspirasi Agama, Bangsa dan Tanah Air.

wallahua’lam.